17/03/2009

Bina Akhlak terlebih dahulu..

Akhlak Rasulullah (sallahu alaihi wassalam) menjadi panduan insan cemerlang

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

Antara para hadirin yang memenuhi ruang legar Kementerian Pembangunan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Nabi Muhammad adalah rasul terakhir yang diutus oleh Allah membawa Islam sebagai cara hidup yang lengkap.

Dalam erti kata lain Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam merupakan contoh agung dalam memiliki akhlak yang mulia.

Dengan mencontohi akhlak dan peribadi mulia Rasulullah ini, akan dapat memandu dan mengubah suasana kehidupan manusia ke arah yang lebih cemerlang dan lebih bahagia bukan sahaja di dunia dan akhirat.

Demikianlah antara lain gambaran mengenai keistimewaan, kemuliaan dan keunggulan peribadi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam yang amat relevan untuk dicontohi dalam kehidupan seharian dan di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab pekerjaan kita.

"Dari itu adalah wajar kita sebagai umat Baginda untuk mengambil teladan dan mencontohi akhlak keperibadian Baginda serta menanamkan kecintaan kita terhadap kekasih Allah yang mulia dan agung ini," kata Pesuruhjaya Tanah, Pengiran Abd Wahab Pengiran Hassan ketika berucap di majlis Sambutan Maulud Nabi S.A.W di sini hari ini.

Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian ceramah oleh Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Pehin Dato Paduka Seri Setia Haji Abdul Aziz Juned.

Antara isi kandungan ceramah Mufti pada petang itu menyentuh mengenai pembangunan di mana langkah awal Baginda membangun negara adalah membina diri dan jiwa terlebih dahulu, kemudian barulah Baginda membina dan membangun negara.

Setiap pembangunan yang diungkayahkan menggunakan material namun Baginda tidak menggunakan material berbentuk benda, tetapi material yang digunakan oleh Baginda ialah material Iman iaitu iman kepada Allah, kepada Rasul, kepada Malaikat, kepada Kitab-Kitab, kepada Hari Akhirat dan Qada' dan Qadar.

Material jenis ini jelas mufti lagi telah melahirkan manusia-manusia seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khatab, Usman bin 'Affan, 'Ali bin Abu Thalib, 'Abdul Rahman bin 'Aub, Sayyidina Khadijah, Sayyidina 'Aisyah, Sayyidina Fatimah dan lain-lain lagi para sahabat.

Majlis turut dihadiri Menteri Pembangunan Pehin Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah Haji Bakar. Persembahan Dikir Marhaban dari Pegawai dan Kakitangan Jabatan Tanah menyerikan lagi sambutan pada hari ini.