08/02/2009

Aqidah penting dalam kehidupan

Majlis Ilmu 2007, Sempena Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-61 Tahun

Aqidah penting dalam kehidupan

TEMBURONG, Khamis, 2 Ogos.- Aqidah merupakan perkara sangat penting dalam kehidupan seorang Islam kerana ia merupakan syarat kepada amalan dan ibadah yang dilakukan.

Jika rosak akidah maka rosaklah juga pegangan seseorang itu terhadap agamanya.

Justeru itu agama Islam sangat menitikberatkan soal-soal aqidah dan syariah kerana segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti Al-Qur’an, Al-Hadis, Ijmak dan Qiyas adalah ditolak Islam.

Ketua Jabatan Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dayang Hajah Zakiah binti Haji Mohd. Taib menjelaskan perkara tersebut sewaktu membentangkan kertas kerja yang bertajuk 'Ajaran Sesat - Kesan/ Implikasi kepada masyarakat' di Majlis Ilmu Peringkat Daerah Temburong Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-61 di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar di sini dengan tema ‘Aqidah Kukuh Membawa Berkat’.

MENTERI Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Ahmad ketika menyaksikan pameran Majlis Ilmu 2007 di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar.

Katanya dalam usaha kerajaan untuk membangunkan ummah dan menyebarluaskan ajaran Islam namun masih terdapat golongan masyarakat yang cuba menimbulkan kekeliruan terhadap kebenaran syariat Islam dengan membawa dan memperkenalkan kepada masyarakat ajaran-ajaran yang menyeleweng dari aqidah Islam.

Justeru kerana itu katanya telah menyebabkan berlakunya beberapa perubahan negatif terhadap kepercayaan, sikap dan amalan-amalan pengikut ajaran terbabit sekalipun pelbagai usaha telah dilaksanakan, namun pengaruh ajaran sesat ini masih terus bertapak dan ianya telah menggugat aqidah segolongan kecil umat Islam di negara ini.

Justeru itu adalah penting bagi umat Islam mengetahui sifat-sifat dan ciri-ciri ajaran sesat tersebut kerana dengan mengetahuinya akan membantu seseorang untuk mengenal pasti ajaran-ajaran yang menyeleweng itu.

Antara yang perlu diketahui katanya ialah kriteria ajaran sesat berkenaan seperti mempertikaikan kebenaran Al-Qur’an dan Al-Hadis, mentafsir dan menghuraikan Al-Qur’an atau Al-Hadis mengikut sesuka hati serta mengadakan bidaah atau pendapat baru yang bertentangan dengan aqidah dan syariat seperti menghapuskan kewajipan berjihad, Sembahyang Jumaat, tidak perlu berpuasa Ramadan, menunaikan fardu haji ke tempat lain dan seumpamanya.

Adapun ciri-ciri ajaran sesat itu terangnya ialah seperti mengaku diri atau gurunya sebagai Nabi atau wakilnya, di samping mendakwa menerima wahyu.

Ciri-ciri lain tambahya, ialah seperti mengaku diri atau gurunya sebagai Imam Al-Mahdi, mendakwa pengikut-pengikut ajaran/tarekatnya sahaja yang dijamin masuk syurga, mempercayai bahawa gurunya boleh menebus dosa dengan wang dan mempercayai bahawa orang yang rela mati boleh memberi pertolongan apabila diseru namanya.

Tambahnya antara faktor berlakunya ajaran sesat ialah kerana kecetekan ilmu dan iman, kecetekan guru-guru yang mengajar ilmu pengetahuan Islam adalah punca berlakunya kesesatan.

Selain dari itu faktor yang menjurus kepada ajaran sesat tersebut ialah percaya kepada perkara-perkara ghaib di mana penganut-penganut ajaran sesat amat mudah sekali percaya kepada sesuatu perkara ghaib yang dikemukakan oleh guru-guru ajaran sesat apabila perkara-perkara ghaib itu disandarkan kepada Al-Qur’an dan Al-Hadis yang telah diputarbelitkan sehingga pengiku-pengikut ajaran sesat itu tidak lagi dapat melihat kesesatan yang disampaikan.

Manakala perbuatan khurafat tambahnya juga merupakan tapak semaian yang paling subur untuk ajaran sesat seperti kepercayaan kepada keramat kubur, pokok kayu, telaga keramat, batu, bukit dan sebagainya, di samping kepercayaan kepada sial majal seperti adat mandi safar dan adat mandi membuang sial.

Terangnya lagi terdapat beberapa bentuk ajaran sesat terdapat di negara ini seperti seperti ajaran baru, bentuk tarekat dan bentuk kepercayaan serta amalan tradisi yang berhubung dengan perkara mistik dan perbomohan.

Bentuk ajaran baru terangnya merupakan ajaran yang direka oleh seseorang guru menggunakan pelbagai nama seperti Bahai, Qadiani dan sebagainya dengan isi kandungannya kebanyakan diambil dari pelbagai fa- haman agama.

Sementara bentuk ta- rekat pula jelasnya, biasanya mereka menggunakan nama tarekat yang termasyhur di mana guru-guru yang terlibat menggunakan cara yang berbeza dari tarekat yang asal ataupun berlaku pengubahsuaian.

Bentuk kepercayaan dan amalan tradisi ini memang lumrah di kalangan masyarakat Melayu Islam di negara ini, kerana ia bersifat kepercayaan kepada kuasa-kuasa kesaktian melalui seni mempertahankan diri dan bomoh-bomoh ataupun orang halus melalui amalan menurun.

"Kini terlalu ramai mereka yang tidak mahir dengan ilmu Islam lantas mendabik dada bahawa ia telah pandai dan bertaraf ulama dan mula mengumpul murid-murid,” terang beliau.

Justeru itu tegasnya disinilah letaknya kepentingan peraturan Majlis Ugama Islam Brunei mengeluarkan tauliah ataupun surat kebenaran kepada guru-guru yang ingin mengajar agama dan ini adalah satu cara pembendungan ajaran sesat yang baik dan berkesan.

Ke arah itu sebagai umat Islam sebenar hendaklah sentiasa berpegang kepada empat sumber hukum seperti Al-Qur’an, Al-Hadis, Ijmak Ulama dan Qias.

Dalam pada itu saran beliau, hendaklah belajar dan merujuk segala kemusykilan agama kepada guru-guru yang muktabar, meneliti sahsiah guru, mengelak dari mengikuti ajaran yang disampaikan secara sulit dan di tempat terpencil.

Selain itu terangnya lagi, perlunya mengenali dan memahami secara mendalam sesuatu kemungkaran adalah merupakan sebahagian dari proses untuk mencegah dan membasminya serta sebahagian dari usaha untuk menegakkan kebenaran.

Begitu juga katanya memelihara masyarakat dari pengaruh ajaran sesat iaitu dengan memberi kefahaman pada mereka tentang hakikat ajaran sesat dan pemikiran yang menyeleweng supaya pengetahuan itu dapat menjadi benteng untuk mempertahankan diri dari godaan penganjur ajaran sesat.